"Dulu, saya hanya menjalankan perniagaan sampingan saya melalui penyampaian mulut ke mulut pelanggan. Kadang-kadang ada tempahan kadang-kadang tidak (kurang tempahan). Jadi, saya mencuba mewar-warkan perniagaan sampingan saya melalui akaun Facebook peribadi saya dan www.tartsedap.blogspot.com pula. Dari situ, bermulalah perubahan sedikit. Tempahan mula bertambah dari sebelumnya terutama menjelang raya. Jadi tak menang tangan sehingga terpaksa mengambil seorang pekerja untuk bahagian mewarna biskut tart. Seterusnya saya cuba mencipta Fanpage TartSedap.com, dan juga mengiklankan ke dalam KahwinMall dan MudahMy. Alhamdulillah tempahan yang diterima agak menggalakkan. Kalau dulu sebelum guna internet sebagai platform untuk pengiklanan berkaitan produk, pendapatan yang saya peroleh adalah lebih kurang RM 200/bulan, kini meningkat menjadi lebih kurang RM 500 – 600 sebulan. Walaupun pendapatan yang diterima belum di tahap yang membanggakan tetapi saya gembira kerana berlaku perubahan bila gunakan internet, perniagaan saya semakin mendapat perhatian ramai termasuk di Sarawak." -Puan NorHafizah Mohamad Jani-
Puan Norhafizah Mohamad Jani adalah seorang pekerja swasta dan membuat perniagaan sambilan dengan mengambil tempahan kuih tart di rumah. Dengan adanya program GMBO, beliau mula melangkah lagi dengan mencipta satu laman web bagi produk hasil tangan beliau sendiri walaupun secara sampingan iaitu www.tartsedap.com.my. Beliau memang ingin membina satu laman web sejak mula berkecimpung dalam perniagaan sampingan ini tapi kos yang dikenakan baginya agak mahal. Tetapi dengan ada peluang sekarang ini iaitu dengan program GMBO, dengan hanya RM80/setahun, tambahan pula domainnya juga adalah percuma, beliau “grab” peluang ini tanpa fikir panjang kerana bagi beliau pakej yang beliau jumpa kali ini adalah pakej termurah buat beliau.
Satu bonus untuk beliau juga bila pihak SKMM memberi geran RM1k kepada usahawan. Beliau menggunakan duit itu untuk membeli oven kapasiti sederhana dengan ada fungsi kipas. Dengan oven tersebut, hasil bakaran beliau sangat memuaskan hatinya dan pelanggan. Tiada lagi keluhan melihat hasil bakaran biskut yang rentung di bahagian dasar biskut.
Dengan internet juga, beliau belajar mencari ilham dalam mencari bagaimana menampakkan keunikan pada biskut tart beliau contohnya dalam menyediakan perkhidmatan membuat hantaran pertunangan/perkahwinan dengan biskut tart yang beliau hasilkan.